
Anwar berkata, pandangan segelintir pihak bahawa beliau dilihat berseorangan mentadbir kerajaan adalah persepsi semata-mata kerana ada beberapa kejayaan dibuat Jemaah Menteri tanpa membabitkan beliau secara langsung.
“Itu persepsi, kita lihat peranan setiap kementerian yang mengadakan mesyuarat setiap minggu…(menteri) ekonomi, kerja raya, pendidikan, kesihatan, komoditi, perdagangan antarabangsa dan industri.
“Kita lihat MITI merekodkan ratusan bilion, menyantuni usahawan desa melalui karnival usahawan desa (KUD) ditingkatkan, aspek komoditi runding sampai Inonesia supaya eksport kelapa sawit ditingkatkan.
“Saya tidak terbabit secara langsung, saya memberi sokongan…saya tidak dapat umumkan semua namun semua ada usaha, saya tidak fikir dapat mencatat kejayaan tanpa pasukan yang mantap dan komitmen kepimpinan keseluruhannya,” katanya dalam sesi dialog Malaysia Madani bersama perdana menteri di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Mengulas lanjut Anwar berkata, rakyat boleh menilai prestasi setiap kementerian melalui program setahun kerajaan Madani kerana ada usaha dilaksanakan mereka mungkin tidak diberikan publisiti seperti mana yang diberikan kepadanya sebagai perdana menteri.
Katanya, kerajaan sentiasa berikhtiar untuk meningkatkan prestasi termasuk dalam aspek perolehan kontrak yang lebih telus selain tiada seorang pun menteri yang direkodkan disiasat kerana rasuah dalam setahun pentadbirannya.
“Pihak kementerian perlu menyebarkan kepada rakyat supaya mereka faham ini adalah kerja sebuah pasukan,” katanya.