Longgar permit bagi pekerja berkemahiran, kerajaan diberitahu

Longgar permit bagi pekerja berkemahiran, kerajaan diberitahu

Pengarah Bait Al-Amanah Abdul Razak Ahmad berkata kerajaan mesti iktiraf kepentingan mengekalkan bakat asing untuk tempoh panjang.

Abdul Razak Ahmad berkata, program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) mesti dirombak untuk disepadukan dengan bakat berkemahiran. (Gambar Freepik)
KUALA LUMPUR:
Malaysia perlu lebih liberal untuk membawa masuk pekerja asing berkemahiran termasuk tanggungan mereka, kata pengarah badan pemikir.

Pengarah Pengasas Bait Al-Amanah Abdul Razak Ahmad, berkata pas pekerja ketika ini tidak menarik kerana banyak sekatan, tidak seperti sistem dilaksanakan di Qatar dan Emiriah Arab Bersatu.

Katanya, kerajaan mesti mengiktiraf bakat asing bukan hanya di negara maju, malah di negara kurang membangun dan membangun.

“Kita sering memikirkan bakat dari negara berisiko tinggi adalah mereka yang mempunyai banyak isu keselamatan. Ini sangat tidak betul.

Abdul Razak Ahmad.

“Kita perlu kepada pendekatan lebih liberal terhadap (sistem) permit kerja yang bukan sahaja membenarkan bakat itu masuk, bahkan memberikan insentif kepada keluarga dan tanggungan untuk turut serta,” katanya kepada FMT.

Razak mengulas gesaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi penggubalan dasar jelas dan bersepadu bagi menarik dan mengekalkan pelabur selaras keperluan industri semasa dan masa depan.

Di bawah peraturan sedia ada, pas penggajian lima tahun disediakan kepada mereka berpendapatan minimum RM6,000 sebulan, manakala bagi berpendapatan sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan layak mendapat pas 10 tahun.

“Bukan semua syarikat mampu membayar gaji pada kadar itu. Ia mengehadkan pas ini kepada syarikat besar sahaja,” katanya sambil menyatakan pembaharuan permit kerja biasa membebankan dan menambah kos.

Beliau berkata, peraturan semasa menyekat pelabur tempatan membawa masuk pekerja berkemahiran daripada negara membangun seperti India dan Pakistan.

Razak juga menyeru program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), yang ketika ini mensasarkan kepada warga asing kaya bagi pencarian kediaman jangka panjang, disepadukan dalam program merekrut bakat.

Katanya, ramai bakat dan individu berkemahiran mencari pilihan kediaman. Bagaimanapun, pendapatan minimum RM40,000 sebulan bagi visa MM2H menjadikan program tersebut terlalu sukar dicapai pekerja berkemahiran.

Beliau berkata, hanya pekerja berkemahiran mewah dari negara Barat sahaja mampu meraih pendapatan sebegitu tinggi.

Razak berkata, sistem mendapatkan taraf penduduk tetap juga perlu dirombak, selain menggambarkan sistem semasa sebagai usang berbanding Singapura yang membenarkan warga asing berkemahiran luar biasa boleh mendapatkan taraf itu dalam tempoh enam ke 12 bulan.

“Paling penting adalah menjadikan mereka selesa di sini. Taraf penduduk tetap sebenarnya boleh mengekalkan bakat dan menarik banyak lagi bakat yang bagus.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.