Kes bunuh Zayn Rayyan: Polis ambil keterangan 28 lagi individu

Kes bunuh Zayn Rayyan: Polis ambil keterangan 28 lagi individu

Jumlah ini menjadikan 48 keterangan individu yang diambil setakat ini.

Anggota Unit Forensik polis tiba di kediaman keluarga Zayn Rayyan Abdul Matiin di Apartment Idaman, Damansara Damai, petang tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis mengambil keterangan daripada 28 lagi individu hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan 48 individu telah dirakam percakapan setakat ini, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Terdahulu dilaporkan polis mengambil keterangan 20 individu, tetapi belum cukup untuk mengesan suspek terbabit dalam kematian kanak-kanak itu.

Hussein sebelum ini berkata, 16 keterangan diambil daripada jiran, komuniti dan guru sekolah, manakala bakinya daripada ibu bapa serta saksi.

Dalam pada itu, Pasukan Unit Forensik Kontinjen Selangor dilihat hadir di kediaman keluarga Zayn Rayyan di Apartment Idaman, Damansara Damai untuk mengambil sampel, lapor Bernama.

Pasukan itu bersama tiga anggota polis berpakaian preman dilihat tiba sekitar 4.20 petang dengan membawa satu kotak berwarna hitam memasuki blok kediaman keluarga itu.

Selepas hampir 45 minit berada di dalam rumah keluarga itu, pasukan tersebut dilihat keluar membawa empat beg kertas berwarna coklat dipercayai mengandungi sampel, serta kotak berwarna hitam.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya mengambil sampel dari kediaman keluarga Zayn Rayyan, namun enggan mengulas lanjut.

Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada tengah hari Selasa lepas di kawasan apartment tersebut, namun keesokannya ditemukan maut dalam aliran anak sungai terletak kira-kira 200m dari blok kediamannya.

Susulan bedah siasat, kanak-kanak berusia enam tahun itu dipercayai dibunuh apabila didapati terdapat kesan kecederaan pada leher dan badannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.