Kerajaan akan kaji semula terus eBelia Rahmah atau tidak, kata PM

Kerajaan akan kaji semula terus eBelia Rahmah atau tidak, kata PM

Keputusan sama ada inisiatif e-tunai bagi golongan belia berusia 18-20 tahun itu akan diteruskan atau tidak tertakluk kepada dana kerajaan, kata Anwar Ibrahim.

Program eBelia Rahmah, yang dituntut dari 26 Jun hingga 22 Ogos lepas, ialah pemberian kredit e-tunai RM200 kepada belia atau pelajar IPT bagi memupuk budaya pembayaran tanpa tunai. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Anwar Ibrahim berkata, keputusan sama ada inisiatif program eBelia Rahmah akan diteruskan atau tidak akan dikaji semula, sambil memberi jaminan kerajaan akan berusaha sedaya-upaya meringankan beban rakyat, khususnya golongan belia.

Perdana menteri berkata, kerajaan akan berbincang sebelum memutuskan sama ada inisiatif yang diagihkan kepada golongan belia berusia 18 sehingga 20 tahun itu akan diteruskan, tertakluk kepada keupayaan dana kerajaan, lapor Bernama.

“Kita tangguh (keputusan sama ada untuk teruskan atau tidak) sehingga awal tahun depan untuk kita kaji semula, berapa pendapatan daripada Jabatan Kastam … kita ada ketua pengarah kastam yang baharu, lebih dinamik, lebih garang, hasil pun kian bertambah.

“Kemudian saya dapat tahu LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia) pun hasilnya bertambah. Kalau hasil bertambah, Insya-Allah kita akan belanja dengan baik,” katanya pada sesi dialog sempena penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dibangkitkan wakil Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berkaitan inisiatif tersebut.

Program eBelia Rahmah 2023 ialah pemberian kredit e-tunai RM200 kepada belia atau pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi (IPT) bertujuan memupuk budaya pembayaran tanpa tunai dan meringankan beban kewangan.

Kredit e-tunai tersebut mula dituntut dari 26 Jun hingga 22 Ogos lepas.

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan akan meningkatkan kemudahan asas di universiti-universiti awam secara berperingkat menggunakan beberapa kaedah kerana peruntukan tahun ini lebih menjurus kepada golongan lebih memerlukan.

Kemudahan-kemudahan itu termasuk tandas dan liputan rangkaian telekomunikasi 5G di asrama, katanya selain memberi jaminan terdapat projek tambahan pada peringkat universiti.

Menjawab rungutan pelajar mengenai Menu Siswa Rahmah RM3.50 tidak dilaksanakan di beberapa universiti, Anwar mengarahkan Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin untuk menyemak semula dengan semua universiti berhubung perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.