
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, pandangan dan maklum balas penting sebelum keputusan “railway scheme” dikeluarkan kepada syarikat berkenaan untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan trem berkenaan.
“Apad telah membuat paparan umum … sebelum ‘railway scheme’ dikeluarkan, syarikat berkenaan perlu melakukan pemeriksaan awam dan perkara berkenaan sedang dilakukan.
“Orang ramai boleh memberi pandangan termasuk kesan terhadap mereka sama ada positif atau negatif kerana APAD akan mengumpul semua pandangan berkenaan sebelum ‘railway scheme’ diluluskan,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Melaka Kali ke-24 hari ini.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas pengumuman Apad di platform Facebook rasminya berkaitan cadangan pembinaan sistem trem moden di Melaka oleh Metro Trem Sdn Bhd.
Apad memaklumkan sistem pengangkutan itu melibatkan jajaran kira-kira 20km dengan 25 hentian, termasuk depot yang akan menyambungkan perkhidmatan bas sedia ada, teksi dan sistem pengangkutan lain pada masa akan datang.
Mengulas lanjut, Loke berkata, pembinaan sistem trem moden itu perlu dilakukan mengikut prosedur dan peraturan sedia ada namun Kementerian Pengangkutan bersedia membantu syarikat berkenaan membangunkan sistem pengangkutan baharu di negeri pelancongan itu.
“Di kementerian, kalau ada pelaburan daripada pihak swasta yang mendapat sokongan kerajaan negeri dan berlandaskan undang-undang serta peraturan sedia ada, kita tidak ada masalah untuk permudahkan,” katanya.