36 saat jaguh Muay Thai negara tumbangkan lawan

36 saat jaguh Muay Thai negara tumbangkan lawan

Johan Ghazali membuat kemunculan pertama di gelangang ONE Fight Night 17 dengan menewaskan lawannya dari Mexico.

Johan Ghazali hanya mengambil masa 36 saat untuk menumbangkan Edgar Tabares dari Mexico dalam pertandingan ONE Fight Night 17 di Stadium Tinju Lumpinee di Bangkok, Thailand. (Gambar Instagram)
BANGKOK:
Petinju muay thai negara Johan Ghazali mendominasi lawannya dalam penampilan sulungnya di pertandingan ONE Fight Night 17 di Stadium Tinju Lumpinee di Bangkok, Thailand.

Dalam pertarungan kategori catchweight pada malam tadi, Johan, 17, atau lebih dikenali sebagai ‘Jojo’, menumbangkan Edgar Tabares dari Mexico dalam masa 36 saat.

Mewakili Gim Rentap Muay Thai, jaguh remaja sensasi itu melepaskan tumbukan tepat ke bahagian badan bekas pencabar gelaran ONE Flyweight Muay Thai World berkenaan sekali gus menyebabkan lawannya rebah dan menamatkan perlawanan pada pusingan pertama,

Dengan kemenangan itu, Johan meningkatkan rekod karier beliau di ONE Championship kepada 5-0, dengan empat daripada kemenangan berkenaan dicapai melalui pukulan ‘knock out’.

“Nama saya Johan, dalam Bahasa Melayu ia bermaksud juara. Saya akan sentiasa berada dalam misi untuk membuktikannya dan hidup dengan nama saya ini.

“Pegang kata-kata saya, saya akan menjadi juara muay thai paling muda di ONE Championship,” katanya dalam satu temu bual selepas pertarungan itu.

Walaupun prestasi cemerlangnya, Johan tidak berjaya mendapatkan bonus kewangan yang besar kerana beliau gagal menambah berat badannya.

“Setiap perkara yang berlaku ada sebab tertentu. Ini satu halangan dalam perjalanan saya, tetapi saya akan harungi dan perbaiki apa yang perlu. Dalam pertarungan seterusnya, saya akan berikan persembahan yang hebat,” katanya.

Pada Oktober lalu, Johan memperoleh kontrak ONE Championship bernilai USD100,000 selepas mencatatkan empat kemenangan berturut-turut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.