
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata, pemeriksaan melibatkan 18 blok di Apartment Idaman, Damansara Damai, yang menempatkan 2,484 unit rumah.
Bagaimanapun, katanya, sampel-sampel DNA tersebut hanya diperoleh daripada sebahagian penduduk di semua blok apartment tersebut dan pengambilan DNA akan diteruskan bagi membantu siasatan.
“Jumlah keseluruhan penduduk yang diperiksa adalah seramai 5,628 orang dan setakat ini ujian DNA yang telah diambil melibatkan 228 individu,” katanya, lapor Sinar Harian.
“Siasatan membabitkan seramai 278 pegawai dan anggota termasuk (daripada) IPK Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Petaling Jaya, serta turut dibantu beberapa IPD lain.”
Dalam pada itu, Hussein berkata, keadaan hujan secara langsung memperlahankan operasi pencarian bukti oleh polis.
Terdahulu dilaporkan polis sudah mengambil keterangan 20 individu berhubung kes tersebut, tetapi belum cukup untuk mengesan suspek yang menyebabkan kematian Zayn Rayyan.
Individu-individu yang diambil keterangan termasuk ibu bapa kanak-kanak itu dan individu yang menemukan mayat mangsa, menurut polis.
Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada tengah hari Selasa lepas di kawasan apartment tersebut, namun keesokannya ditemukan maut dalam aliran anak sungai terletak kira-kira 200m dari blok kediamannya.
Susulan bedah siasat, kanak-kanak berusia enam tahun itu dipercayai dibunuh apabila didapati terdapat kesan kecederaan pada leher dan badannya.