Wanita disimen dikenal pasti warga India

Wanita disimen dikenal pasti warga India

Polis berkata mangsa adalah teman wanita salah seorang daripada dua suspek warga India yang disyaki sudah pulang ke negara asal.

Hussein Omar Khan berkata mangsa dipercayai teman wanita suspek yang juga warganegara India. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mayat wanita yang dijumpai disimen dalam kolah bilik air di sebuah rumah di Pandamaran, Klang pada 5 Dis lalu dikenal pasti sebagai warga India berusia lingkungan 30-an.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata mangsa dipercayai teman wanita suspek yang juga warga India dan mereka tinggal bersama di rumah sewa berkenaan.

“Polis sedang memohon bantuan kedutaan India bagi mendapatkan maklumat mengenai mangsa dan menghubungi pihak keluarganya,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Hussein berkata, maklumat mengenai suspek telah diketahui dan satu waran tangkap sudah dikeluarkan.

“Kita akan meminta bantuan kedutaan India dan polis India bagi mengesan sekali gus menahan suspek berkenaan,” katanya.

Lakaran polis menunjukkan gambaran wajah wanita yang mayatnya ditemui disimen dalam kolah mandi.

Wanita itu ditemui selepas pemilik rumah mengupah kontraktor untuk mengubahsuai tandas yang membawa kepada penemuan mayat disimen dan ditanam dalam kolah rumah berkenaan.

Hasil bedah siasat Hospital Shah Alam mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan tekanan pada leher.

Polis berkata mereka sedang mengesan dua lelaki yang dikenali sebagai Ranjit Singh dan Mandeep Singh merupakan penyewa di rumah berkenaan dan berpindah pada Nov 2021.

Seorang daripada dua lelaki warga asing yang diburu polis dipercayai telah pulang ke negara asalnya.

Polis juga menahan tiga suspek termasuk seorang lelaki warga asing berusia 53 tahun yang direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.