Tiada diskaun bagi saman JPJ, kata menteri

Tiada diskaun bagi saman JPJ, kata menteri

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata ia bagi memberi mesej saman bagi kesalahan trafik jalan raya bertujuan mendidik.

Loke Siew Fook berkata, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan sebulat suara bersetuju tiada diskaun bagi saman JPJ. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata tiada diskaun ditawarkan bagi saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ini kerana, katanya, ia bagi memberi mesej saman bagi kesalahan trafik jalan raya bertujuan mendidik dan tawaran diskaun mungkin membayangkan kelonggaran.

“Agensi lain seperti polis mungkin mempunyai pertimbangan berbeza, tetapi JPJ di bawah Kementerian Pengangkutan dan bertanggungjawab dalam isu keselamatan jalan raya,” katanya selepas menghadiri program “Setahun Bersama Kerajaan Madani” di Kuala Lumpur.

Polis sedang menawarkan diskaun sehingga 50% untuk saman trafik terpilih sempena ulang tahun pertama kerajaan perpaduan.

Komen Loke menyusul aduan orang ramai kenapa tiada diskaun untuk saman JPJ.

Loke berkata, Kementerian Pengangkutan mengamalkan dasar tiada tawaran diskaun sejak 2018 semasa beliau menerajuinya dari 2018 hingga 2020.

“Saya membatalkan lebih empat juta saman daripada sistem penguatkuasaan automatik (AES). Ramai orang mengalu-alukannya masa itu, tetapi ia keputusan sekali saja dan bukan untuk dijadikan contoh.

“Kerajaan boleh memperoleh hasil RM600 juta jika kami mengutip saman itu, tetapi kami memilih untuk membatalkannya.”

Beliau kesal dengan kekecewaan orang ramai, khasnya selepas ramai yang mengunjungi kaunter JPJ semalam untuk mendapatkan diskaun.

“Apabila perkara ini sedikit kecoh semalam, saya telah bermesyuarat khas bersama KSU (ketua setiausaha) dan pengurusan tertinggi JPJ berhubung respons orang ramai dalam hal ini dan kami sebulat suara menegaskan tiada diskaun saman diberikan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.