PH perlu bantu Umno kawal ‘Gelombang Hijau’, hapus sentimen ‘barua’ DAP

PH perlu bantu Umno kawal ‘Gelombang Hijau’, hapus sentimen ‘barua’ DAP

Azmi Hassan berkata hanya PH mampu membersihkan prasangka buruk penyokong tegar Umno terhadap sentimen 'barua' DAP.

Penganalisis politik berpendapat Pakatan Harapan perlu membantu Umno menyelesaikan masalah dihadapi parti itu untuk mengembalikan sokongan kepadanya.
PETALING JAYA:
Pengaruh “Gelombang Hijau” yang semakin melebar ke negeri Pantai Barat akan terus “memakan” Umno jika sentimen agama dan bangsa dijaja Perikatan Nasional (PN) tidak dikawal Pakatan Harapan (PH), kata penganalisis politik.
Azmi Hassan.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, dengan pengaruh Umno yang merosot pada tahap terendah, hanya PH mampu membersihkan prasangka buruk penyokong tegarnya terhadap sentimen “Umno barua DAP”.

“Masalah itu tidak dapat diselesaikan Umno sendiri. Masalah itu boleh diselesaikan oleh PH secara keseluruhannya.

“(PH) Tidak boleh beri gambaran bahawa DAP mengawal segala-galanya…tidak boleh beri gambaran Umno tidak boleh melakukan sesuatu atau PM (Anwar Ibrahim) sendiri tidak boleh melakukan sesuatu dengan DAP.

“Ini persepsi yang tertanam dalam kalangan pengundi Melayu menyebabkan mereka tak mahu menyokong Umno kerana (mereka beranggapan) Umno lemah (bila dalam kerajaan perpaduan),” katanya kepada FMT.

Pada 5 Dis, bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Isham Jalil mendakwa Umno terus menerima penolakan orang Melayu kerana parti yang seharusnya memperjuangkan Melayu dan Islam itu, sudah tersasar dan rela menjadi “barua” DAP.

Beliau yang dipecat parti keesokannya mendakwa, ada segelintir pemimpin Umno bertindak “lebih DAP daripada DAP”, dengan mempromosikan parti cauvinis itu secara berlebihan sehingga menimbulkan kurang senang dalam kalangan akar umbi.

Mengulas perkara itu, Azmi berkata memutuskan hubungan dengan PH dan DAP tidak menyelesaikan masalah defisit kepercayaan orang Melayu terhadap Umno, malah “perceraian” itu hanya akan memburukkan lagi politik negara, dan tidak mustahil akan berlaku satu lagi PRU.

“Kerajaan perpaduan akan tumbang walaupun BN hanya 30 kerusi kerana kesan rantaiannya bila Umno tarik diri, BN tarik diri saya pasti kerajaan perpaduan akan runtuh,” katanya yang pasti ia bukan pengakhiran dimahukan oleh semua.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid.

Sementara itu, Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia, tidak bersetuju dengan pandangan Isham bahawa Umno ditolak kerana berada dalam kerajaan perpaduan, sebaliknya kepercayaan rakyat terhadap parti tersebut sudah lama lemah.

“Sebelum berlaku pertelingkahan dalaman ini pun,” katanya merujuk siri berbalas serangan antara pimpinan Umno termasuk Presiden Zahid Hamidi terhadap Isham.

Anbumani Balan.

Seorang lagi penganalisis politik, Anbumani Balan, berkata Umno kini berada di persimpangan kritikal, dan parti itu perlu membuka ruang luas kepada ahli untuk melontarkan pandangan serta kritikan.

“Pemimpin di atas jangan buat keputusan sekadar untuk memperkasakan diri mereka sahaja. Dengarlah suara akar umbi. Gunakanlah masa yang ada ini untuk membina semula parti. Jangan buang masa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.