
Ameer berkata, pengimport tempatan beralih kepada negara sumber seperti China sejak beberapa bulan lepas berikutan keputusan India menaikkan harga eksport bawangnya.
“Kami (pengimport) telah mengurangkan import bawang dari India sejak dua hingga tiga bulan lepas. Buat masa ini, semua bawang yang kami import adalah dari China.
“India pengeksport bawang yang sangat besar tetapi keadaan ini telah berlarutan selama lebih enam bulan. Impak ke atas harga tidak akan menjadi jelas,” kata Ameer kepada FMT.
Semalam, Reuters melaporkan, India telah menghentikan eksport bawang sehingga 31 Mac tahun depan.
Sebelum ini, New Delhi menetapkan harga eksportnya kepada USD800 satu tan untuk mengurangkan eksport dan mengekang lonjakan harga tempatan.
Ameer juga berkata, China boleh memenuhi permintaan Malaysia sehingga larangan itu dimansuhkan, dengan bawang yang diimport tidak banyak bezanya dari segi kualiti.
Beliau juga berkata, harga pasaran bawang stabil pada RM3.59 sekilogram, menyangkal tanggapan berlaku kenaikan harga.
FMT telah menghubungi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk mendapatkan komen.