
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasan Trafik Bukit Aman Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, lebih 18,000 saman trafik diselesaikan semalam, manakala 3,015 diselesaikan setakat 12 tengah hari ini.
“Semalam kaunter saman dibuka dari 9 pagi hingga 4 petang, tetapi kerana sambutan yang meriah, polis memutuskan ia dilanjutkan ke 9 malam hari ini,” katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan di kaunter saman trafik hari ini, lapor Bernama.
Beliau berkata, polis menyediakan 14 kaunter bayaran secara tunai, selain memberikan pilihan kepada pengunjung untuk membuat bayaran dalam talian menggunakan baucar kod QR.
“Saya juga amat berpuas hati dengan persediaan tempat membayar saman, dengan kerusi dan meja disediakan mencukupi, juga terdapat pendingin hawa, untuk pengunjung menunggu giliran yang (mungkin) mengambil masa sehingga dua jam,” katanya.
Mengulas sama ada polis akan memperluas tawaran diskaun saman trafik 50% di luar program berkenaan, Mohd Azman berkata, perkara itu perlu mendapat kelulusan daripada ketua polis negara.
Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang berlangsung selama tiga hari mulai semalam memberikan fokus kepada tiga komponen, iaitu Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan Madani, perkhidmatan “touchpoint” rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat.