Anwar kesal AS veto resolusi gencatan senjata di Gaza

Anwar kesal AS veto resolusi gencatan senjata di Gaza

Perdana menteri berkata Putrajaya turut membantah tindakan AS yang tidak mempedulikan hak kemanusiaan penduduk Palestin.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia kesal dengan tindakan Amerika Syarikat yang masih mempertahankan pembunuhan penduduk tidak berdosa oleh tentera Israel di Gaza. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Putrajaya amat kesal dan membantah tindakan Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya, untuk menolak resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa gencatan senjata segera dalam konflik antara Israel dan Palestin.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata mewakili negara, beliau turut kesal dengan sikap AS yang masih mempertahankan tindakan pembunuhan anak-anak kecil tanpa sekatan di Gaza.

“Satu dunia menemplak dan membantah (tindakan Israel) dan saya masih kesal dan bantah sikap AS yang tidak mempedulikan hak kemanusiaan. Saya bagi pihak kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya, membantah terhadap keputusan AS menolak gencatan senjata Majlis Keselamatan (PBB).

“Tolonglah, kita mesti hentikan pembunuhan mereka yang tidak bersalah, orang awam, bayi dan wanita dan tidak terdapat sebab, tiada sebab langsung untuk mana-mana pihak menafikan perkara ini dan sebab itulah saya berasa sedih dengan keputusan melampau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan AS pada Jumaat yang memveto resolusi PBB untuk menggesa gencatan senjata segera dalam konflik antara Israel dan Hamas di Gaza, sekali gus mematahkan desakan yang semakin meningkat untuk gencatan senjata segera yang diketuai oleh Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dan negara-negara Arab.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas meluangkan kira-kira satu jam melawat Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Jumlah rakyat Palestin yang terbunuh akibat serangan Israel di Gaza kini sudah mencecah lebih 17,000 orang yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.