20 keterangan tak cukup kesan suspek bunuh Zayn Rayyan, kata polis

20 keterangan tak cukup kesan suspek bunuh Zayn Rayyan, kata polis

Polis berkata, 16 keterangan diambil daripada jiran, komuniti dan guru sekolah, manakala baki empat ialah ibu bapa serta saksi.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata, proses mengumpul maklumat menerusi pertanyaan dan pencarian dari rumah ke rumah disambung semula petang dan malam ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis sudah mengambil keterangan 20 individu dalam kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, tetapi ia belum cukup untuk mengesan suspek yang mendalangi kematian kanak-kanak autisme itu.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata, polis kini perlu bekerja keras mengumpul maklumat yang boleh membantu siasatan.

Katanya, 16 keterangan sudah diambil daripada jiran, komuniti dan guru sekolah, manakala baki ialah ibu bapa serta saksi.

Beliau berkata, pakaian dipakai mangsa ketika ditemui juga diserahkan kepada Jabatan Kimia untuk dianalisa.

“Seperti yang saya sebut semalam, kes bukan ‘straight forward’, keterangan yang ada terhad. Justeru, kita masih mengumpul maklumat, termasuk menunggu keputusan analisa forensik dari Jabatan Kimia.

“Menerusi hasil forensik itu nanti dapat memberikan kita ‘clue’ (petunjuk) bagi mengecilkan skop siasatan kita seterusnya mengesan (suspek),” katanya menurut Harian Metro.

Hussein berkata, proses mengumpul maklumat menerusi pertanyaan dan pencarian dari rumah ke rumah disambung semula petang dan malam ini.

Setakat ini, katanya, proses itu sudah selesai di tiga daripada 18 blok kediaman di Apartmen Idaman membabitkan 540 unit rumah.

Keluarga Zayn Rayyan tinggal di Apartmen Idaman dengan 18 blok kediaman, merangkumi 2,484 unit rumah dan kedai.

Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia dalam aliran anak sungai kira-kira 200m dari rumahnya, sehari selepas beliau dilaporkan hilang pada tengah hari Selasa lalu.

Hussein sebelum ini mengesahkan kematian Zayn Rayyan diklasifikasi kes bunuh selepas bedah siasat menemui kecederaan di leher dan badan mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.