Undang-undang lompat parti P Pinang tak terpakai pada 2 wakil rakyat Bersatu, kata mahkamah

Undang-undang lompat parti P Pinang tak terpakai pada 2 wakil rakyat Bersatu, kata mahkamah

Mahkamah Tinggi memutuskan Khaliq Mehtab Ishaq dan Zolkifly Lazim kekal sebagai wakil rakyat dalam tempoh antara Mei 2018 dan Jun tahun ini.

Mahkamah Tinggi memihak kepada (dari kiri) Khaliq Mehtab Ishaq dan Zolkifly Lazim, tetapi menolak hujah Zulkifli Ibrahim dan Dr Afif Bahardin.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan dua bekas Adun Bersatu tidak kehilangan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana peruntukan anti-lompat parti negeri tidak terpakai ke atas mereka.

Hakim Anand Ponnudurai berkata Khaliq Mehtab Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Lazim (Teluk Bahang) kekal sebagai wakil rakyat dalam tempoh antara Mei 2018 dan Jun tahun ini, serta berhak mendapat semua bayaran kewangan yang perlu dibayar kepada mereka bagi tempoh sehingga DUN dibubarkan ketika itu.

Dalam keputusan yang disampaikan secara dalam talian, Anand menjelaskan penggunaan lambang PKR tidak bermaksud kedua-dua mereka ahli parti itu, dan mereka juga tidak pernah meninggalkan Bersatu. Maka, Perkara 14A Perlembagaan Pulau Pinang tidak terpakai ke atas mereka.

Mahkamah bagaimanapun menolak hujah serupa dalam hal Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh) dan Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), kerana Perkara 14A terpakai ke atas mereka.

Anand berkata mereka itu sememangnya ahli PKR.

Keempat-empat mereka menamakan DUN Pulau Pinang dan speakernya ketika itu, Law Choo Kiang, sebagai defendan.

Mereka bereempat disingkirkan sebagai ahli DUN pada 6 Mac, susulan usul yang dibuat mengikut undang-undang anti-lompat parti negeri.

Pada PRU2018, Khaliq Mehtab Ishaq dan Zolkifly Lazim bertanding bawah lambang PKR. Bersatu kemudian meninggalkan Pakatan Harapan pada 2020.

Azizan Harun dan Chetan Jethwani mewakili keempat-empat mereka selaku peguam, manakala Dewan Undangan Negeri dan Law diwakili oleh A Surendra Ananth.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.