Sindiket seludup RM14.3 juta diesel guna kapal tumpas

Sindiket seludup RM14.3 juta diesel guna kapal tumpas

Polis turut menahan enam warga asing dalam serbuan pada Rabu lalu.

Polis merampas 138,982 liter minyak diesel dalam serbuan ke atas sebuah kapal minyak di Pelabuhan Klang kelmarin.
PETALING JAYA:
Polis menahan enam warga asing dan menumpaskan sindiket penyeludupan diesel bersubsidi dalam serbuan ke atas sebuah kapal minyak di Pelabuhan Klang pada Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Hazani Ghazali berkata, 138,982 liter minyak diesel dirampas dalam serbuan itu.

“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM14.3 juta diesel, termasuk pam minyak serta hos ditemui dalam serbuan ke atas sebuah kapal minyak.

“Serbuan dijalankan Sel Risikan Utama Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) yang berperanan menangani isu penyelewengan barang kawalan,” katanya menurut Harian Metro.

Dalam pada itu, beliau berkata, WCB/PSK merampas RM73.08 juta diesel bersubsidi dan 240 individu disyaki terbabit kegiatan itu ditahan dalam 66 serbuan di seluruh negara sejak 1 Jan lalu.

Katanya, KDNKA komited bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memerangi penyelewengan barang kawalan bersubsidi bagi memastikan hasil negara dilindungi daripada ketirisan.

Justeru, beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kepada polis bagi memastikan kegiatan jenayah itu dapat dibanteras sepenuhnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.