
Filem itu pada mulanya ditayangkan secara dalam talian dan dikritik ramai pihak kerana memaparkan beberapa babak dianggap bertentangan ajaran dan kepercayaan Islam.
Kementerian Dalam Negeri kemudian mengharamkan filem itu pada 1 Sept lalu.
Pengarah Khairi Anwar Jailani dan penerbit Tan Meng Kheng mendakwa, keputusan kerajaan sebagai “tidak rasional” kerana melanggar kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, keputusan itu juga menjejaskan pendapatan mereka kerana filem berkenaan tidak boleh ditayangkan atau diedarkan di mana-mana dalam negara ini.
Khairi Anwar dan Tan memohon perintah mahkamah untuk membatalkan arahan itu dan mengisytiharkan Akta Penapisan Filem sebagai tidak berperlembagaan.
Mahkamah menetapkan 31 Jan depan untuk mendengar permohonan bagi membuat semakan kehakiman.
Filem berdurasi 104 minit itu berkisarkan konflik agama seorang remaja perempuan Islam dikenali sebagai Aisyah, yang mengkaji agama lain, terutama bagi mencari jawapan mengenai kehidupan selepas kematian.
Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) mendapati filem itu mengandungi elemen bertentangan ajaran dan amalan kehidupan orang Islam di negara ini.