
Charles Santiago, bekas Ahli Parlimen Klang, memetik pengalaman positifnya sendiri di Indonesia, di mana kepelbagaian kesatuan sekerja di sebuah kilang mempertingkatkan kecekapan.
“Akibat kewujudan dua atau tiga kesatuan sekerja di kilang itu, persaingan diwujudkan antara kesatuan-kesatuan yang memperjuangkan hak terbaik untuk pekerja, termasuk dari segi pampasan pekerja, bayaran lebih masa, perlindungan terhadap diskriminasi dan sebagainya,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, kekurangan kesatuan sekerja di negara ini antara punca penggajian kekal rendah sehingga hari ini.
“Hanya dengan lebih banyak keahlian kesatuan sekerja lah boleh berlaku rundingan dan tuntutan untuk gaji lebih tinggi. Jika tidak, majikan akan menganggap mereka betul (mengenai gaji dibayar),” katanya.
Dewan Rakyat pada 10 Okt lalu meluluskan pindaan terhadap Akta Kesatuan Sekerja 1959, yang membolehkan kepelbagaian kesatuan sekerja dalam sesuatu pertubuhan, perdagangan, pekerjaan atau industri.
Bagaimanapun, gabungan menentang kepelbagaian kesatuan sekerja secara konsisten menyuarakan bantahan terhadap pindaan itu, dan menegaskan kepelbagaian kesatuan sekerja “bertentangan dengan konsep penyatuan pekerja”.
Pada Rabu, FMT memetik seorang pakar ekonomi berkata kesatuan sekerja yang tidak bersatu padu akan kurang kuasa berunding bagi mendapat gaji lebih tinggi.
Zouhair Rosli, Pengarah Sosioekonomi Persatuan Penasihat Penyumbang Perlindungan Sosial Malaysia, berkata ini akan menyukarkan kerajaan mencapai sasaran gaji lebih tinggi untuk pekerja.
Walaupun menyokong pindaan itu, Santiago turut menggalakkan kesatuan sekerja berbincang secara aktif dengan Ahli Parlimen untuk melobi perubahan demi membaiki hak pekerja.
“Contohnya kesatuan melobi dengan Ahli Parlimen untuk beberapa perubahan terhadap gaji minimum. Jadi perkara seperti ini sentiasa berterusan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, mungkin telah terlambat untuk menghalang pindaan undang-undang berkenaan memandangkan Dewan Negara berkemungkinan besar meluluskannya.