Komitmen BN bukti jadikan DAP ‘kambing hitam’ gagal, kata Syahredzan

Komitmen BN bukti jadikan DAP ‘kambing hitam’ gagal, kata Syahredzan

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP berkata 'analisis' pihak berkenaan bukan dibuat dengan niat baik tetapi mempunyai agenda.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP Syahredzan Johan berkata ulasan mengenai kekalahan BN di Kemaman harus adil.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin DAP berpendapat komitmen Barisan Nasional (BN) terhadap kerajaan perpaduan membuktikan cubaan segelintir pihak menjadikan parti itu sebagai “kambing hitam” selepas kalah PRK Kemaman gagal.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Syahredzan Johan, berkata semua “analisis” daripada pihak berkenaan bukan dibuat dengan niat baik tetapi mempunyai agenda.

“Mudah bagi pihak yang mahu melihat perpecahan kerajaan perpaduan untuk menyalahkan DAP bagi kekalahan di Kemaman.

“Namun, komitmen BN dan Umno khususnya terhadap kerajaan perpaduan menunjukkan percubaan mereka untuk menjadikan DAP sebagai kambing hitam tidak berjaya,” kata Ahli Parlimen Bangi kepada FMT.

Bagaimanapun, Syahredzan tidak menafikan keperluan untuk kerajaan perpaduan mengadakan “post-mortem” susulan kekalahan pada PRK Kemaman 2 Dis lalu.

“Tetapi harus juga adil dalam membuat ulasan. Kemaman sudah menjadi kubu PAS, dalam PRN baru-baru ini juga mereka ‘sapu bersih’ di Terengganu.

“Juga jangan lupa, parti kerajaan perpaduan sebelum ini masih menang dengan selesa di PRK Pulai, Simpang Jeram dan Pelangai,” katanya.

Pada PRK Kemaman PAS menerusi Ahmad Samsuri Mokhtar mempertahankan kerusi Parlimen itu dengan majoriti 37,220 undi menewaskan calon BN Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Raja Affandi mendapat 27,778 undi, lebih rendah berbanding 38,535 undi diterima Ahmad Said pada PRU15.

Susulan itu, bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil, melancarkan kritikan terhadap pimpinan partinya yang mendakwa ia terus menerima penolakan orang Melayu kerana sudah tersasar daripada memperjuangkan Melayu dan Islam, serta rela menjadi “barua” DAP.

Sebelum ini, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad juga berkata Umno bakal “berkubur pada PRU16 jika terus bekerjasama dengan DAP, merujuk keputusan PRK Kemaman yang menyaksikan undi diterima parti itu terus merosot.

Katanya, pemisahan Umno daripada DAP antara usaha boleh menyelamatkan parti Melayu itu selain kembali kepada perjuangan untuk bangsa, negara dan agama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.