Kes Zayn: Polis peroleh cap jari, DNA semasa bedah siasat

Kes Zayn: Polis peroleh cap jari, DNA semasa bedah siasat

Polis berharap maklumat forensik akan diperolehi dalam dua atau tiga hari, bagi membantu polis mengesan individu-individu yang terbabit.

Beberapa ‘barang kes’ termasuk cap jari dan DNA diperolehi semasa bedah siasat Zayn Rayyan Abdul Matiin, menurut polis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis memperolehi beberapa ‘barang kes’ termasuk cap jari dan DNA semasa bedah siasat Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata barang kes berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk memperolehi maklumat forensik.

Beliau berharap keputusan akan diperolehi dalam dua atau tiga hari, bagi membantu polis mengesan individu-individu yang terbabit.

“Keputusan forensik boleh membantu pihak polis untuk mendapatkan ‘details’ yang boleh menjurus ke arah mereka yang terbabit,” katanya pada sidang media di tempat kejadian.

Dalam pada itu, Hussein menafikan Zayn Rayyan merupakan mangsa dera seperti didakwa sesetengah pihak kerana tiada bekas luka lama akibat penderaan dikesan pada badan mangsa.

“Tiada kesan penderaan ditemui pada badan mangsa, ibu bapa kanak-kanak ini telah menjaganya dengan elok, spekulasi dia didera ini tidak betul. Orang ramai dinasihatkan tidak keluar kenyataan tidak berasas yang boleh mengganggu siasatan polis dan sensitiviti keluarga.”

Sementara itu, Hussein memaklumkan polis menjalankan siasatan dari rumah ke rumah dalam tiga blok sekitar tempat kejadian.

Usaha itu akan diteruskan malam ini dan esok.

“Ada dua fasa siasatan: Pertama adalah berkaitan mencari dan mengumpul keterangan fizikal di tempat kejadian mahupun sekitar kawasan kejadian.

“Kedua, melibatkan dari rumah ke rumah yang mana kawasan ini mempunyai 18 blok membabitkan 2,400 rumah,” katanya.

Zayn, 6, ditemukan tidak bernyawa berdekatan sebatang anak sungai di Damansara Damai, pada Rabu malam, selepas dilaporkan hilang pada Selasa.

Polis merumuskan mayat kanak-kanak autisme itu diletakkan di tempat ia ditemui, berdasarkan siasatan setakat ini.

Peristiwa ini dikelaskan semula sebagai kes bunuh susulan bedah siasat, dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.