
Fatimah Mohamed Arshad daripada Universiti Putra Malaysia berkata, kerajaan sebaliknya perlu fokus pada usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran industri ternakan tempatan melalui penyelidikan dan penggunaan teknologi pengeluaran termaju.
Beliau berkata, pendekatan serupa turut diambil Vietnam, dengan menjalankan penyelidikan dan memanfaatkan kepakaran asing, khususnya dari Israel. Hasilnya, Vietnam menjadi pengeluar makanan haiwan kelapan terbesar di dunia tahun lepas, menjana 26.72 juta tan metrik dan mencerminkan pertumbuhan 27.72% tahun ke tahun.
“Singapura hanya sebuah pulau kecil dengan ruang minimum untuk penanaman atau (padang) ragut. Oleh itu, mereka perlu cari alternatif lain,” kata Fatimah kepada FMT.
Mohamad memberitahu Malaysiakini pada 29 Nov bahawa beliau sedang mempertimbangkan mencontohi strategi Singapura melabur di luar negara untuk memastikan keterjaminan makanan dalam negeri.
Beliau berkata, kos pengeluaran jagung, makanan ternakan lazim di Malaysia, adalah tinggi, dan berhujah bahawa pelaburan berbalik boleh mengurangkan perbelanjaan kerajaan untuk pengeluaran makanan ternakan.
Bagaimanapun, Fatimah berkata, faedah jangka pendek pelaburan berbalik akan diimbangi oleh kerugian jangka panjang daripada “kematian perlahan industri ternakan domestik”.
Selain menyumbang kepada kehilangan pekerjaan, keadaan ini juga akan mengambil masa bertahun-tahun untuk dipulihkan, tambahnya.
Beliau berkata, pelaburan berbalik di negara membangun mungkin berisiko dan bermasalah disebabkan oleh kerumitan peraturan, turun naik kadar tukaran dan perlindungan pelabur yang lemah.
Tahap mampu diri Malaysia dari segi daging lembu kini berada pada 30%, bermakna 70% lagi keperluan tempatan dipenuhi dari luar negara.
Fatimah berkata, bagi menangani kos pengeluaran makanan ternakan yang tinggi, baki 70% keperluan daging boleh dipenuhi melalui import, pilihan yang lebih murah berbanding pelaburan berbalik.
Beliau juga berkata, kerajaan tidak berbelanja tidak berhemah pada masa lalu dan mengabaikan bidang penyelidikan, seperti projek betik oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), yang dimulakan pada 1987.
Pada 2003, wabak penyakit melanda dan projek itu gagal disebabkan kurangnya penyelidikan yang meluas untuk mengenal pasti dan menangani penyakit tersebut.
“Memiliki modal yang besar sahaja tidak cukup. Sektor makanan kita telah diabaikan sekian lama dan ini isu sistemik,” kata Fatimah.