‘Baris tempur’ makin jelas menjelang pemilihan Amanah

‘Baris tempur’ makin jelas menjelang pemilihan Amanah

Seorang pemimpin parti berkata pertempuran paling sengit adalah untuk jawatan timbalan presiden yang kini kosong.

Amanah dijadualkan mengadakan persidangan parti dari 22 hingga 24 Dis ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemilihan Amanah dijangka melihat pertempuran antara pemimpin yang mempunyai kaitan dengan NGO Islam, Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), dan mereka yang sebaliknya, FMT difahamkan.

Seorang pemimpin parti dari Melaka yang enggan dinamakan berkata, pertempuran paling sengit adalah untuk jawatan timbalan presiden yang dikosongkan sejak kematian penyandangnya, Salahuddin Ayub pada Julai.

Nama pilihan yang disebut bertanding jawatan itu adalah bekas ketua menteri Melaka Adly Zahari, dan bekas Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa.

Sumber itu berkata, ura-ura turut mengaitkan pemimpin tertentu dengan Ikram, termasuk mereka yang disebut-sebut menyandang jawatan nombor dua parti.

“Ikram memainkan peranan penting dalam pewujudan Amanah pada 2015, tetapi mereka yang tidak berkait dengan NGO itu bimbang ia mampu mempengaruhi keputusan parti sekiranya pemimpin yang sehaluan dengannya memenangi pilihan kelak.”

Menurutnya, satu lagi perkara penting adalah arah tuju parti selepas konvensyen Amanah yang bakal berlangsung dari 22 hingga 24 Dis.

“Kebanyakan pemimpin Amanah datang dari PAS. Mereka tidak mahu parti dipengaruhi orang luar,” kata sumber itu.

Amanah dibentuk sekumpulan bekas pemimpin PAS dari “kem profesional” parti itu. Bagaimanapun, ia menghadapi kesukaran menonjolkan diri sebagai alternatif kepada parti komponen Perikatan Nasional itu.

Sementara itu, sumber berkenaan turut berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim hanya dijangka mengumumkan pengganti Salahuddin sebagai menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup selepas pemilihan Amanah.

Salahuddin meninggal dunia pada 23 Jul lalu di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah, selepas menjalani pembadahan akibat pendarahan dalam otaknya.

Sementara itu, seorang lagi pemimpin Amanah dari Selangor menepis kebimbangan terhadap hubungan segelintir pemimpin parti dengan Ikram.

“Ikram hanya digunakan untuk memomokkan pengundi daripada mengundi individu tertentu,” katanya, dengan menambah taktik serupa digunakan dalam pemilihan parti sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.