Amang seksual: Hukuman penjara 15 tahun, 14 sebatan bekas guru agama kekal

Amang seksual: Hukuman penjara 15 tahun, 14 sebatan bekas guru agama kekal

Rayuan bekas guru agama itu terhadap hukuman penjaranya dibatalkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan selepas dia menarik balik rayuan.

Abidin Abdullah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 11 Okt 2021 terhadap tujuh kesalahan melakukan serangan seksual fizikal ke atas murid empat tahun lalu.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 15 tahun dan 14 sebatan dikenakan ke atas bekas guru agama yang disabitkan tujuh kesalahan melakukan serangan seksual fizikal ke atas murid darjah 6, empat tahun lalu.

Rayuan Abidin Abdullah terhadap hukuman penjaranya dibatalkan panel tiga hakim diketuai Hadhariah Syed Ismail selepas dia menarik balik rayuan itu.

Hadhariah, yang bersidang bersama Hakim Azman Abdullah dan Azmi Ariffin, berkata sabitan dan hukuman penjara terhadap Abidin kekal.

“Orang tua kena beri contoh yang baik kepada orang muda terutamanya kepada pelajar,” katanya.

Abidin, 50, didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 11 Okt 2021 terhadap tujuh pertuduhan sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah iaitu guru agama, melakukan serangan seksual fizikal ke atas budak lelaki berusia 12 tahun itu di Shah Alam , Selangor, antara 21 Sept 2019 dan 5 Okt, tahun sama.

Abidin dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan. Dia diperintahkan menjalani hukuman itu serentak dari tarikh ditangkap pada 7 Okt 2019 yang bermakna akan menjalani hukuman penjara selama 15 tahun dan dikenakan 14 sebatan.

Mahkamah Sesyen turut memerintahkan Abidin menjalani kaunseling pemulihan selama 10 tahun mengikut Seksyen 26 (1) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 serta pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai hukuman penjara.

Dia gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi pada 12 Ogos tahun lalu.

Peguam Mohamad Zaidan Daud yang mewakili Abidin pada mulanya memohon mahkamah mengurangkan hukuman penjara anak guamnya.

Azman bagaimanapun berkata, mahkamah boleh memerintahkan supaya hukuman penjara 15 tahun itu berjalan berturut-turut yang bermakna hukuman penjara Abidin akan bertambah kerana kesalahan dilakukannya adalah berasingan.

Selepas berbincang dengan anak guamnya, Zaidan memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya ingin menarik balik rayuan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Solehah Noratikah Ismail.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.