
Ketua Polis Kuala Muda, Zaidy Che Hassan, berkata dua lelaki tempatan itu yang juga kenalan berusia 35 dan 38 tahun ditahan pasukan dari Cawangan Risikan Batalion 1 Kompeni D Pasukan Gerakan Am Bukit Kayu Hitam pada 9.30 malam.
Katanya, suspek 38 tahun itu tiada rekod lampau, manakala lelaki 35 tahun mempunyai satu rekod lampau bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati dua suspek terlibat aktiviti pengedaran daun ketum sejak bulan ini.
“Mereka berperanan sebagai ‘runner’ dengan menerima upah RM1,000 setiap seorang untuk menghantar bekalan daun ketum dari Padang Terap ke kawasan barat Semenanjung Malaysia,” katanya menurut Sinar Harian.
Zaidy berkata, pengedaran daun ketum itu didalangi lelaki tempatan dan daun dirampas itu dipercayai untuk diedarkan ke kawasan barat Semenanjung.
Katanya, 170 bakul plastik mengandungi bungkusan plastik jernih berisi daun hijau disyaki daun ketum dianggarkan bernilai RM23,800 dirampas bersama sebuah lori bernilai RM85,000.
Beliau berkata, daun ketum dirampas itu boleh dibuat air untuk kegunaan sehingga 30,000 orang.
Katanya, dua suspek yang negatif dadah itu direman empat hari sehingga 11 Dis ini untuk disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.