Tak perlu label munafik kalau tak setuju, Hadi diberitahu

Tak perlu label munafik kalau tak setuju, Hadi diberitahu

Kenyataan Hadi Awang berkait cara kerajaan menyalur peruntukan yang disamakan dengan golongan munafik disifatkan keterlaluan.

Mohd Na’im Mokhtar menyifatkan Hadi Awang keterlaluan dengan mengeluarkan kenyataan tidak berasas.
PETALING JAYA:
Presiden PAS Abdul Hadi Awang diingatkan supaya tidak melabel kerajaan sebagai munafik meskipun tidak bersetuju dengan kaedah urus tadbir negara kini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata kenyataan Hadi menerusi Minda Presiden PAS semalam bertajuk “cara golongan munafik menentang islam diikuti Israel dan PH” amat keterlaluan.

“Sesungguhnya perbuatan memberi label sedemikian amat mendukacitakan kerana ia boleh mewujudkan kekeliruan dalam kefahaman masyarakat dan menimbulkan bibit-bibit perpecahan serta permusuhan agama antara sesama umat Islam,” katanya dalam kenyataan.

Menerusi catatan Hadi semalam, Ahli Parlimen Marang itu mendakwa PKR sebagai parti minoriti kini memimpin “kerajaan boneka pragmatik liberal”, iaitu sama seperti Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang mencapai keputusan minoriti diberikan hak bagi menubuhkan kerajaan dengan sokongan Israel dan Amerika Syarikat (AS).

“Pendekatan pemerintahan mereka sama seperti pendekatan golongan munafik pada zaman Rasulullah terhadap mereka yang beriman supaya menyekat peruntukan kepada pihak lawan,” kata Hadi.

Sehubungan itu, Mohd Na’im mengingatkan umat Islam supaya tidak terjebak dengan usaha melabel oleh sesetengah individu dan pemimpin politik kerana berbahaya serta menyalahi hukum syarak.

“Seluruh umat Islam dinasihatkan menghayati nilai ajaran agama yang melarang perbuatan menuduh seseorang Muslim yang lain dengan gelaran kafir, fasik atau munafik tanpa bersandarkan kepada bukti dan hujah kukuh,” katanya.

Beliau turut menggesa pemimpin politik lebih bertanggungjawab dalam memelihara keutuhan perpaduan ummah serta membudayakan adab meskipun berbeza pendapat menerusi dialog dan perbincangan secara harmoni.

“Ia bagi meleraikan sebarang perbedaan dalam kaedah dan pendekatan urustadbir kenegaraan semasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.