Rebut peluang tanpa bergantung boikot, usahawan Muslim diberitahu

Rebut peluang tanpa bergantung boikot, usahawan Muslim diberitahu

Mohd Na’im Mokhtar berkata usaha mendapatkan sijil halal dilihat mampu memberikan pilihan baharu kepada pengguna di negara ini.

Sebanyak 8,272 syarikat tempatan memegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bagi semua kategori industri, mengikut jawapan di Dewan Rakyat pada 18 Sept lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Usahawan Muslim tempatan perlu mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) untuk menawarkan pilihan kepada pengguna, tanpa bergantung boikot produk atau perkhidmatan syarikat dikaitkan Israel.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata sijil diluluskan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) yang turut diiktiraf di banyak negara itu bukan sekadar menyokong ekonomi orang Islam tetapi meningkatkan keyakinan pengguna.

“Dalam masa sama produk disokong tidak mempunyai unsur-unsur meragukan atau haram serta terjamin halal dan toyyib,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini, Kosmo melaporkan jualan produk tempatan, khususnya dalam industri perniagaan makanan dan minuman (F&B) meningkat sehingga 40% susulan kempen boikot oleh majoriti pengguna ke atas produk-produk pro-Israel.

Berdasarkan jawapan Naim pada sidang Dewan Rakyat, 18 Sept lalu, sebanyak 8,272 syarikat yang memegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bagi semua kategori industri, dengan 3,270 pengusaha atau 39.53% adalah syarikat Bumiputera.

Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor pula mengingatkan pengusaha produk tempatan untuk lebih cakna terhadap keperluan orang Islam dalam mendapatkan makanan halal.

“Kita menyeru pengusaha produk tempatan agar mendapatkan segera sijil halal Jakim (SPHM) yang boleh dimohon terus menerusi portal MyHalal.

“Sijil ini amat penting supaya pengguna beragama Islam tidak meragui status halal mana-mana produk makanan ditawarkan untuk kegunaan mereka,” katanya.

Sementara itu, Na’im berkata pihaknya telah menjalankan pelbagai usaha membantu pengusaha tempatan memohon mendapatkan SPHM menerusi beberapa program seperti klinik halal serta kerjasama dengan agensi pembimbing usahawan serta Pusat Ekonomi Digital.

Katanya, fokus turut diberikan kepada usahawan kecil dan sederhana yang diberi bimbingan dalam usaha memudahcara dan membantu kumpulan terbabit mendapat sijil halal.

“Untuk tahun ini sahaja, bahagian ini telah berjaya membimbing seramai 2,458 usahawan melalui kolaborasi strategik dengan agensi pembimbing usahawan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.