
Ketua Polis Barat Daya Kamarul Rizal Jenal berkata, lelaki berusia 57 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Barat Daya di pekarangan Balai Polis Kulim Hi-Tech, Kulim, Kedah pada Selasa.
“Mangsa, seorang lelaki berusia 44 tahun berminat untuk membeli sebuah kereta terpakai jenis Mini Cooper (S) warna merah dengan harga RM37,000 setelah melihat iklan melalui laman sosial Facebook,” katanya.
“Lelaki yang bekerja sebagai juruteknik itu terus berurusan dengan suspek melalui WhatsApp dan membuat enam transaksi secara dalam talian dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM21,150 sebelum menyedari telah tertipu kerana suspek masih meminta wang.”
Menurut Kamarul Rizal, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket penipuan tersebut.
Suspek direman untuk siasatan lanjut kerana dipercayai memberikan kad bank kepada pihak lain untuk kegunaan jenayah, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.