
Menteri kerja raya berkata, kementerian bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sedang meneliti semua aspek melibatkan pelaksanaan MLFF seperti dirancang kerajaan terdahulu, bermula pada 2021.
“Tidak dinafikan bahawa kerajaan terdahulu telah mendapat kelulusan secara prinsip dalam pelaksanaan MLFF.
“Bagaimanapun, kelulusan ini hanyalah untuk memberi ruang kepada proses rundingan dijalankan di antara pihak-pihak yang terlibat dalam pelaksanaan MLFF ini,” katanya dalam kenyataan.
Pada 5 Dis, FMT melaporkan sebanyak 32 syarikat konsesi lebuh raya membantah tindakan kerajaan menganugerahkan secara langsung projek MLFF kepada syarikat swasta bagi semua lebuh raya di negara ini.
Di bawah sistem MLFF, semua aliran keluar dan masuk di lebuh raya akan ditukar kepada laluan bebas halangan bagi mengurangkan kesesakan, selain menyuraikan laluan trafik.
Menurut sumber, kerajaan menandatangani “perjanjian pelantikan” bersama syarikat berkaitan YTL Corporation Bhd pada 17 Nov 2022, bagi penganugerahan projek RM3.46 bilion tanpa berunding dengan syarikat konsesi yang akhirnya akan menanggung kos itu.
Katanya, Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya (PSKLM) telah menghantar surat bantahan kepada Kementerian Kerja Raya, mendakwa langkah itu melanggar perjanjian individu dengan kerajaan.
Persatuan itu dilaporkan mendapatkan nasihat perundangan berkait perkara tersebut, memandangkan kerajaan menawarkan 20 tahun konsesi kepada KJS-SEP Synergy (M) Sdn Bhd.
Pada 20 Mac, Timbalan Menteri Kerja Raya, Abdul Rahman Mohamad di Dewan Rakyat berkata kajian MLFF akan dilaksanakan pada 2024 sebelum penggunaan sepenuhnya dijangka dapat dikuatkuasakan setahun selepas itu.
Mengulas lanjut, Nanta berkata meskipun perancangan dan proses kelulusan awal bermula sejak 2021, beliau sedar penelitian dan tindakan penambahbaikan perlu dilakukan khususnya melibatkan aspek perundangan bagi memastikan kelancaran projek berkenaan.
“Saya dan pasukan kementerian sedang berusaha untuk memastikan kelancaran inisiatif MLFF ini supaya ia dapat menepati objektif yang diharapkan,” katanya.