
Menteri kemajuan desa dan wilayah itu berkata, ini kerana hasil tanaman kelapa sawit dan getah bawah dua entiti itu hanya dijual di pasaran tempatan.
“Namun demikian, kita perlu mengambil peduli dengan keperluan antarabangsa berkaitan sekatan ini.
“Sehubungan itu, kita melaksanakan program kebolehjejakan di peringkat ladang dan kilang penapisan bagi memastikan sumber buah sawit itu datang dari ladang mempunyai Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO),” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bacaan kali kedua di Dewan Negara.
Perundangan EU yang berkuat kuasa Januari 2025 itu mewajibkan pengendali pengeluaran produk komoditi bawah skop EUDR membuktikan produk dihasilkan tidak dikaitkan penebangan hutan melalui proses usaha wajar membabitkan pengesanan dan lokasi geografi.
EUDR yang diluluskan EU merangkumi enam komoditi seperti soya, daging lembu, minyak sawit, koko, kayu dan kopi.
Mengulas cadangan mewujudkan entiti khas Perbadanan Kemajuan Kelantan Utara (UTARA) bagi menampung kepesatan ekonomi di Kota Bharu dan kawasan sekitarnya, Zahid berkata syor itu baik untuk manfaat penduduk di kawasan berkenaan.
“Insya-Allah, saya akan memaklumkannya Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk meneliti perkara itu.
“Tapi untuk langkah awal, saya akan minta Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) memperluaskan (usaha pembangunan) di utara dahulu dengan peruntukan sedia ada.”
Ini kerana katanya cadangan Senator Mohamad Fatmi Che Salleh di Dewan Negara semalam dibuat selepas pengumuman Belanjawan 2024.