
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata hasil bedah siasat oleh Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh mendapati ada kecederaan pada bahagian leher dan badan mangsa.
“Kecederaan ini kita percaya berunsurkan jenayah dan siasatan lanjut akan dijalankan selepas ini,” katanya menurut Sinar Harian.
Hussein berkata, pihaknya sedang mengesan beberapa individu terbabit dalam kes ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai mempunyai maklumat berkaitan diminta segera menghubungi polis untuk membantu siasatan.
Zayn Rayyan, 6, disedari hilang sejak 12.30 tengah hari Selasa, sebelum ibunya membuat laporan polis dan hebahan di media sosial.
Mayatnya ditemui kumpulan penduduk yang menyertai operasi mencari di kawasan sungai yang jaraknya kira-kira 100m dari rumahnya pada 10 malam Rabu.