Beku kuota pekerja asing masih kekal, kata Sivakumar

Beku kuota pekerja asing masih kekal, kata Sivakumar

Berdasarkan RMK12, jumlah pekerja asing tidak boleh melebihi unjuran 2.4 juta orang sehingga 2025, namun jumlah terkini sudah menjangkau unjuran itu.

Media sebelum ini melaporkan jumlah pekerja asing di Malaysia mencecah 2.7 juta orang, melebihi dua juta penduduk negara berketurunan India.
KUALA LUMPUR:
Keputusan membekukan kuota pengambilan pekerja asing, termasuk bagi tahun depan masih kekal dan Jemaah Menteri belum membuat ketetapan baharu, kata Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.

Berdasarkan Rancangan Malaysia ke-12, katanya jumlah pekerja asing tidak boleh melebihi unjuran 2.4 juta orang sehingga 2025, namun jumlah terkini sudah menjangkau unjuran itu.

Beliau berkata lambakan pekerja asing itu meliputi jumlah sedia ada, pertambahan daripada program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) serta Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing.

“Sehingga mesyuarat Kabinet yang lepas, memang kita tidak akan buka pemberian kuota baharu untuk sementara waktu…namun bergantung kepada keputusan terbaru, kita akan maklumkan,” katanya selepas menghadiri program HR Leaders Networking Luncheon di sini.

“Bagi tahun depan, kita tidak tahu lagi (kuota pengambilan pekerja asing), kita kena lihat dalam pelbagai konteks…kita hentikan pengambilan dan kita akan lihat balik keperluan ambil warga asing pada masa depan.”

Sebelum ini, media melaporkan jumlah pekerja asing dalam negara mencecah 2.7 juta orang, melebihi dua juta penduduk Malaysia berketurunan India.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.