13 raifal penembak tepat RM2.3 juta antara aset baharu FRU

13 raifal penembak tepat RM2.3 juta antara aset baharu FRU

Aset lain termasuk termasuk 10 van tempur (RM3.6 juta), penggantian 175 laras senapang rusuhan (RM2.8 juta) dan 10 anjing rusuhan (RM900,000).

Razarudin Husain berharap aset bakal diperoleh dimanfaatkan sepenuhnya warga FRU untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebanyak 13 laras raifal penembak tepat berkaliber. 22 bernilai RM2.3 juta antara aset baharu akan diperoleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) tahun depan, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Ia sebahagian daripada perolehan kelengkapan bernilai RM21.8 juta daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), termasuk 10 van tempur (RM3.6 juta), penggantian 175 laras senapang rusuhan (RM2.8 juta), empat trak jenis “float bonded” untuk Unit Berkuda FRU (RM2.2 juta), 10 anjing rusuhan (RM900,000), 1,000 unit baju zirah dan 1,000 unit topeng gas bernilai RM10 juta.

“Saya harap aset yang bakal diperoleh nanti akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga FRU untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya menurut Bernama, ketika berucap merasmikan Markas FRU dan Sambutan Hari Ulang Tahun FRU ke-68 di Dataran Kawad FRU di Kuala Lumpur.

Beliau mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan, khasnya KDN yang sentiasa memberi perhatian pada kebajikan dan keperluan aset warganya sejajar arus pembangunan serta teknologi semasa.

Mengenai Markas FRU di Cheras, Razarudin berkata ia akan menempatkan Unit 1, Unit 4, Unit Berkuda, dan Trup Wanita serta blok pentadbiran, pengangkutan, dewan, dan blok perumahan.

Markas itu manifestasi pengiktirafan kerajaan terhadap peranan penting FRU dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam, katanya.

Dalam perkembangan lain, 163 orang ditahan FRU atas 41 kesalahan penyeludupan kontraban, migran, ketum, mercun, dan khazanah negara membabitkan nilai rampasan berjumlah RM31.8 juta bagi 10 bulan pertama tahun ini.

“Peranan FRU dipelbagaikan, termasuk tugas risikan untuk membantu pasukan sahabat lain bagi membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan, selain terlibat kawalan sempadan negara daripada pencerobohan pengganas dan menyekat kemasukan pendatang tanpa izin.”

FRU sayap polis yang bernaung bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.