
Sivanesan berkata jumlah itu meningkat hampir sekali ganda berbanding tahun lepas yang mencatatkan RM1.305 juta, lapor Bernama.
Katanya, jumlah operasi penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam sepanjang 2022 adalah sebanyak 2,603 aktiviti, manakala bagi Januari hingga September tahun ini mencatatkan 2,274 aktiviti.
“Pengeluaran notis Seksyen 32B Akta Makanan 1983 setakat September tahun ini adalah sebanyak 8,465 notis berbanding 5,222 notis dikeluarkan sepanjang tahun lepas,” katanya pada sesi soal jawab di persidangan DUN Perak di Ipoh.
Sivanesan menjawab soalan Dr Najihatussalehah Ahmad (PN-Bota) yang ingin tahu langkah-langkah penguatkuasaan termasuk langkah proaktif diambil kerajaan negeri bagi menangani masalah merokok di tempat awam.
Beliau berkata penguatkuasaan juga akan dipertingkat tahun depan dengan sasaran bilangan aktiviti operasi lebih tinggi ditetapkan dalam pelan tindakan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).
Sivanesan berkata selain aktiviti penguatkuasaan oleh JKN, hebahan dan peringatan berkaitan kawasan larangan merokok turut dijalankan dari semasa ke semasa menerusi kempen awam.
“Sepanjang 2022 dan 2023, sebanyak 108 aktiviti kempen advokasi dijalankan di Perak, merangkumi aktiviti di IPTA, sekolah, masjid, kompleks membeli-belah, jabatan kerajaan dan komuniti,” katanya.