PDC tandatangan perjanjian dengan MyEG bina asrama pekerja

PDC tandatangan perjanjian dengan MyEG bina asrama pekerja

Kemudahan perumahan itu akan menempatkan sehingga 8,000 pekerja asing di Taman Perindustrian Batu Kawan 3.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (dua kiri) dan Pengarah MyEG Jimmy Wong Abdullah (dua kanan) melihat lakaran projek asrama pekerja di BKIP3.
GEORGE TOWN:
Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menandatangani perjanjian pajakan dengan MyEG Lodging (NC) Sdn Bhd, anak syarikat MyEG Services Bhd, untuk membina asrama pekerja bernilai RM108 juta di Batu Kawan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata PDC memohon cadangan itu antara 29 Sept dan 29 Nov 2022.

Katanya, tiga cadangan dibentangkan kepada lembaga pengarah dan lembaga pemerolehan PDC, sebelum MyEG dipilih.

Chow, yang juga pengerusi PDC, berkata projek itu melibatkan pembinaan asrama pekerja di Taman Perindustrian Batu Kawan 3 atas sebidang tanah seluas 8.39 hektar.

Beliau berkata, pertumbuhan sektor perindustrian di negeri itu secara tidak langsung menyebabkan permintaan terhadap perumahan pekerja meningkat.

“Pembangunan asrama pekerja secara berpusat, terkawal dan terancang menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk terus menyokong pembangunan perindustrian yang meluas di Pulau Pinang, serta membantu negeri menangani masalah seperti aduan orang ramai mengenai kebanjiran pekerja asing di kawasan kediaman.

“Ini akan menangani isu penurunan nilai hartanah apabila pekerja asing berpindah ke kawasan kediaman, serta ketibaan warga asing tanpa izin,” kata Chow dalam ucapannya pada majlis menandatangani perjanjian di sini.

Sementara itu, Malay Mail yang memetik Pengarah MyEG Jimmy Wong Abdullah sebagai berkata perkampungan pekerja tersebut dijangka menempatkan sekurang-kurangnya 8,000 orang apabila siap pada 2026.

“Seiring projek ini, MyEG akan menawarkan perkhidmatan lain seperti permohonan permit kerja dan kemudahan lengkap termasuk surau, kedai runcit dan kawasan rekreasi,” katanya.

Beliau berkata, semua kemudahan akan mengikut piawaian ditetapkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.