Gaduh guna senjata, 5 dicekup polis

Gaduh guna senjata, 5 dicekup polis

Polis turut merampas sepucuk pistol dan sebilah senjata tajam yang digunakan dalam kejadian pergaduhan di PPR Jalan Sungai, Georgetown itu.

Polis berkata semua yang ditahan itu direman empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960.
GEORGETOWN:
Polis menahan lima lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan melibatkan sekumpulan individu sehingga seorang cedera parah di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai, di sini awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Timur Laut, V Saravanan, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 2.30 pagi dan sepasukan polis dari cawangan D9 IPD Timur Laut terus ke lokasi kejadian.

“Sebaik pihak polis tiba di lokasi kejadian, mendapati seorang lelaki berlumuran darah kerana mengalami kecederaan di kepala dan dia juga sedang memegang sepucuk pistol ketika itu. Polis menahannya untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Saravanan berkata dalam masa sama dua anggota bertindak mengejar sebuah kereta yang dinaiki sekumpulan lelaki dipercayai turut terlibat dalam pergaduhan itu dan mahu melarikan diri daripada pihak berkuasa.

Beliau berkata polis kemudiannya berjaya menahan empat lelaki yang melarikan diri dan siasatan awal mendapati pergaduhan itu berpunca daripada perselisihan faham antara mereka.

“Ekoran penahanan lima lelaki itu, polis merampas sepucuk pistol dan sebilah senjata tajam yang digunakan dalam kejadian pergaduhan tersebut manakala lelaki yang cedera parah itu menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata semua lelaki tempatan yang ditahan itu berusia 24 hingga 34 tahun dan mereka kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.