Sindiket ‘pasport terbang’ tumpas, wanita disyaki dalang ditahan

Sindiket ‘pasport terbang’ tumpas, wanita disyaki dalang ditahan

Seorang lelaki warga China berusia 34 tahun dipercayai orang tengah sindiket turut ditahan imigresen Johor.

Kegiatan sindiket ‘pasport terbang’ dipercayai beroperasi sejak kira-kira tiga bulan lalu, kata Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Johor Baharuddin Tahir.
PETALING JAYA:
Sindiket “pasport terbang” berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen (JIM) Johor selepas menahan seorang wanita tempatan dipercayai dalang aktiviti terbabit, semalam.

Pengarahnya, Baharuddin Tahir, berkata wanita berusia 47 tahun itu ditahan menerusi Ops Serkap di Taman Nusa Bistari pada 6 petang.

Katanya, penahanan itu berjaya dilakukan hasil risikan dua minggu oleh Unit Risikan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor.

“Wanita itu disyaki menjadi dalang utama sindiket pemalsuan dokumen (pasport China). Kegiatan ini dipercayai sudah beroperasi kira-kira tiga bulan lalu.

“Hasil serbuan oleh sepasukan pegawai Unit Risikan di sebuah petak parkir turut menahan seorang lelaki warga China berusia 34 tahun, yang dipercayai sebagai orang tengah sindiket.

“Sindiket ini mengenakan bayaran sehingga RM500 bagi setiap satu pasport yang diproses,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.

Baharuddin berkata, pihaknya turut menyita kenderaan Toyota Mark X berwarna putih.

“Lima pasport China dan wang tunai berjumlah RM12,100 turut dirampas dalam operasi itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.