
Tegasnya, keadaan itu disebabkan kesan politik jijik dimainkan pihak lawan seolah-olah kerajaan tidak menitikberatkan soal Melayu dan Islam.
“Ada kebenarannya (kenyataan Melayu tidak sokong kerajaan) kerana diasak dengan pandangan kerajaan hari ini seolah-olah tak Melayu dan menentang Islam.
“Ini seakan politik yang merupakan suatu fitnah yang menjijikkan. Politik ini harus bahas berdasarkan fakta dan angka,” katanya dalam wawancara sempena setahun pentadbirannya bersama TV3 malam ini.
Anwar yang juga menteri kewangan mengakui naratif negatif terhadap kerajaan perpaduan oleh masyarakat Melayu juga begitu tebal dan sukar dikikis sedangkan fahaman seperti itu katanya berupaya memecahbelahkan negara.
“Naratif terlalu kuat dan tebal dengan kebencian keterlaluan, dengan akhlak begitu rupa. Nak tegur, sapa senyum tak boleh. Ini kaedah mana kita dapat,” katanya.
Anwar juga yakin kerajaan pimpinannya tidak goyah di sebalik kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada PRK Kemaman dan khabar angin mendakwa pentadbirannya tumbang susulan peralihan sokongan Ahli Parlimen.
“Kekuatan kita dalam Parlimen itu jelas tidak boleh digugat, ya (ada yang kata) akan menyeberang, kalau betul ada 50 hingga 60 (orang) silakan saya tidak mampu menghalang.
“Tetapi dalam hukum adat, hukum politik sekarang itu igauan, sekarang saya tidak pedulikan itu, saya tahu kekuatan politik yang ada dan insha-Allah dengan kekuatan itu kita tumpu pembangunan negara,” katanya.
Berhubung rombakan Kabinet, Anwar menjelaskan walaupun mengakui ada keperluan melaksanakannya namun pada masa sama beliau berpendapat menteri sedia ada juga harus diberi peluang memperbaiki prestasi mereka.
“Rombakan itu perlu sekiranya prestasi menteri meleset atau keadaan menuntut, umpamanya kita terbentuk parti dengan gabungan, rundingan harus diadakan, penyertaan harus setimpal kekuatan parti.
“Setelah setahun buat penilaian adil, menteri harus diberi peluang untuk perbaiki prestasi, kemudian kalau ada penyesuaian berdasarkan pengalaman setahun itu akan dilakukan, menambah jika perlu,” katanya.
Rombakan Jemaah Menteri antara lain perlu dibuat untuk mengisi kekosongan jawatan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup ditinggalkan Salahuddin Ayub yang meninggal dunia Julai lalu.