
Presidennya Zulhelmi Mansor mendakwa Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Keempat Perindustrian Negara serta Jawatankuasa Ekonomi Perkongsian dilihat gagal memandangkan masih banyak isu gagal ditangani secara berkesan.
Beliau berkata jika jawatankuasa itu berjaya mengapa isu kadar upah tidak berbaloi masih berlaku selain tindakan tidak adil penamatan akaun dan ada penghantar beroperasi tanpa Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) aktif.
Katanya, masalah petunjuk prestasi utama (KPI) dan SOP syarikat penyedia perkhidmatan yang turut membelengu penghantar sekian lama tetapi masih tidak dapat dinoktahkan lagi membuktikan perlunya satu badan kawal selia khusus untuk ditubuhkan.
“Ada pelanggan meminta penghantar naik ke tingkat atas bangunan menghantar pesanan biarpun tahu tidak dibenarkan sehingga mencetus salah faham. Apakah pelanggan dikenakan tindakan oleh syarikat penyedia perkhidmatan?
“Banyak lagi isu melibatkan kebajikan rakan-rakan penghantar P-hailing yang tidak dibela. Sewajarnya SEGiM ditubuhkan dalam mengimbangi setiap dasar yang bakal dikuatkuasa pihak kerajaan terhadap setiap pemegang taruh yang terlibat,” katanya kepada FMT.
Minggu lalu, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata kerajaan tidak bercadang untuk menubuhkan SEGiM memandangkan peranannya bertindih dengan jawatankuasa sedia ada.
Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, Julai lalu yang berfungsi mengawal selia ekosistem industri ekonomi sampingan.
Zulhelmi mendakwa Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga dilihat tidak cekap mengawal selia sektor ekonomi sampingan, sebaliknya akta atau dasar diperkenal hanya membebankan.