
Pengerusinya Mohd Sharkar Shamsudin berkata kelayakan 300 liter diperuntuk menerusi program Budi Madani RON95 (RON95) dilihat tidak selari dengan realiti kerja lapangan kelompok itu
yang melibatkan perjalanan jauh dan masa operasi panjang.

Menurutnya, maklum balas itu berdasarkan pandangan disuarakan pada mesyuarat agung pertama MyGig semalam bersama lebih 60 wakil penggiat industri gig.
“Ramai antara mereka terkesan dan terpaksa menanggung kos tambahan tinggi.
“MyGig turut mencadangkan mekanisme khas bagi menilai semula kelayakan dan keperluan penggiat industri secara berkala supaya bantuan disalurkan memberi impak kepada golongan sasaran,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan kerajaan akan berurusan dengan penyedia perkhidmatan e-panggilan (EHO) bagi mengenal pasti pemandu yang layak untuk had kelayakan tambahan untuk petrol bersubsidi.
Kementerian Kewangan bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan memuktamadkan proses permohonan had kelayakan tambahan dengan EHO pada minggu ini.
Menerusi BUDI95 yang memanfaatkan 16 juta orang, semua warganegara Malaysia mempunyai lesen memandu sah akan menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 sen seliter.
Warga asing yang memandu kenderaan pendaftaran Malaysia pula akan membayar harga pasaran, ditentukan kerajaan pada setiap hujung bulan.
Bulan ini harga RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada kadar RM2.60 seliter.
Dalam pada itu, Sharkar berharap kerajaan dapat segera menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) selepas kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 di Dewan Rakyat.
“Ia bukan sahaja berfungsi sebagai pusat advokasi dan kawal selia, malah berperanan penting dalam menyeimbangkan kuasa kapitalisme digital supaya lebih adil serta beretika,” katanya.