Jakim gagal hubungi ‘Imam Mahdi’

Jakim gagal hubungi ‘Imam Mahdi’

Jakim memohon bantuan polis untuk menjejaki individu yang menggelar dirinya 'Imam Mahdi'.

Jakim ingin berhubung dengan individu yang dikenali sebagai Khairul Adha itu yang menggelar dirinya ‘Imam Mahdi’ di media sosial, kata Menteri Na’im Mokhtar. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta bantuan polis untuk menjejaki Individu yang menggelar dirinya ‘Imam Mahdi’ di media sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar berkata, bantuan polis dimohon selepas Jakim gagal menghubungi individu tersebut.

“Saya tak tahu dia ni betul-betul ‘Imam Mahdi’ jenis boleh nyorok-nyorok, ghaib macam sekarang… sesuai sangat dengan ‘Imam Mahdi’ itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pelan Transformasi dan Perubahan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia.

Na’im berkata Jakim ingin berhubung dengan individu yang dikenali sebagai Khairul Adha itu.

“Kita nak berbincang. Biasalah manusia buat silap jadi sebab itu saya arahkan Jakim untuk mengambil pendekatan menghubungi individu tersebut dan Jakim akan berikan penjelasan.

“Itu dakwah penting Jakim perlu jalankan tapi kita hubungi tidak dapat… keluarga tidak dapat dihubungi juga,” katanya.

Na’im juga berkata pihaknya belum mendapat maklum sama ada individu itu masih berada di Malaysia atau sudah keluar negara.

Dalam perkembangan lain, ditanya sama ada Majlis Fatwa Kebangsaan akan memutuskan ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem sesat dan bercanggah dengan akidah Islam, seperti mana dilakukan pihak berkuasa agama Terengganu, Na’im berkata pihaknya akan berbincang dengan mufti Wilayah Persekutuan terlebih dahulu.

“Kita akan cuba selaraskan ini. Kita akan bincang dengan pihak pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jakim untuk selaraskan,”katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.