BN-PH dijangka ‘kemarau’ 2 penggal di Kelantan, Terengganu, kata penganalisis

BN-PH dijangka ‘kemarau’ 2 penggal di Kelantan, Terengganu, kata penganalisis

Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata naratif Melayu Islam masih menebal di dua negeri ini.

Gelombang hijau PAS masih kuat di Kelantan dan Terengganu, terbukti menerusi kemenangan pada PRK Kemaman. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) diramalkan mungkin sukar menang di Kelantan dan Terengganu dalam tempoh dua penggal mendatang, kata penganalisis politik.

Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata kekalahan calon BN Raja Affandi Raja Noor mewakili kerajaan perpaduan kepada Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar membuktikan naratif Melayu Islam masih menebal.

“Dua penggal akan datang ini pasti sukar buat BN dan PH menguasai negeri pantai timur kerana gelombang hijau masih wujud.

“Naratif Melayu Islam masih berkesan kepada rakyat Terengganu kerana terikat garis tradisional,” katanya kepada FMT sambil menjelaskan BN-PH perlu bekerja keras merencana rancangan lebih baik untuk mengembalikan keyakinan ramai.

PRK Kemaman menyaksikan Samsuri yang juga naib presiden PAS menewaskan Affandi dengan majoriti 37,220 undi.

Margin kemenangan diraih Samsuri atau Dr Sam jauh lebih tinggi berbanding diperoleh calon PAS, Che Alias Hamid, 27,179 undi majoriti pada PRU15, yang mana kemenangannya dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya kerana didapati berlaku rasuah, September lalu.

Sementara itu, Zaireeni Azmi dari Universiti Sains Malaysia menyifatkan kemenangan Samsuri di Kemaman kerana pemimpin itu sudah dikenali selain penyokong PAS masih kekal setia.

Jelasnya, keadaan itu berbeza dengan BN pula yang hanya mendapat 27,000 undi, berkurangan mendadak berbanding pada PRU15.

“Sepatutnya kalau campur undi PH-BN boleh dapat lebih 40,000 undi tetapi ini sekitar 27,000 sahaja.

“Itu menunjukkan pengundi mereka tak keluar mengundi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.