
Presiden PKR itu turut menyifatkan Chua sebagai menteri kesihatan “sangat efektif” serta “juara reformasi dan demokrasi” di Malaysia.
Chua yang meninggal dunia Ahad lalu pada usia 80 tahun ialah bekas ketua PKR Johor dan ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR.
Beliau merupakan menteri kesihatan paling lama berkhidmat dalam negara, dari 1995 hingga 2004.
Chua bersama MCA selama 35 years sebelum menyertai PKR pada 2009, antara lain kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan MCA yang diketuai bekas presiden Ong Tee Keat dan kematian “misteri” pembantu politik DAP Teoh Beng Hock ketika disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
“Chua ialah kawan yang saya kenali selama empat dekad sejak kami berada dalam Barisan Nasional (BN),” katanya pada upacara memperingati Chua di sini.
“Ketika beliau menyertai kami (PKR), ia tempoh sangat sukar, bergelora dan beliau menunjukkan dedikasinya sebagai individu sangat gigih.
“(Beliau) gigih berjuang untuk reformasi dan kami menjadi rakan sekerja serta kawan sangat rapat sehingga beliau bersara daripada politik.”
Kali terakhir Chua bertanding dalam PRU13 pada 2013, tetapi tewas kepada Presiden MIC dan penyandang kerusi Parlimen Segamat ketika itu, Dr S Subramaniam dengan majoriti 1,217 undi.
Upacara memperingati Chua selama dua hari diadakan di Full Gospel Assembly di sini dan orang ramai boleh memberi penghormatan dari 3 petang hingga 7 malam.
Chua akan dikebumikan di Taman Memorial Nirvana, Shah Alam, kira-kira 10 pagi Khamis ini.