
Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) berkata, pengendali pesawat telah diarahkan untuk menyediakan program latihan berulang kepada juruterbang mengenai penerbangan di kawasan gunung dan dalam keadaan cuaca buruk secepat mungkin.
“Keupayaan penilaian risiko (juruterbang) dan pertimbangannya perlu dipertingkatkan agar (beliau) tidak mengambil risiko tidak perlu,” kata biro itu dalam laporan kemalangan terakhirnya.
Helikopter Airbus AS 355 F2 milik syarikat swasta, membawa seorang doktor, dua jururawat dan dua pembantu perubatan dalam misi perubatan dari Tanjung Rambutan, Perak, itu terhempas berhampiran Brinchang.
Biro itu berkata, siasatan mendapati pesawat itu berfungsi dengan sempurna pada hari kejadian dan bahagian yang rosak tidak menyumbang kepada nahas.
Katanya, helikopter itu terhempas di cerun, namun terhalang daripada terus jatuh ke kaki bukit oleh kanopi pokok.
Tiga penumpang yang duduk di bahagian belakang kabin tercampak keluar, tambah laporan itu.
“Keenam-enam (individu) yang menaiki helikopter tersebut secara ajaibnya terselamat, walaupun empat daripadanya mengalami kecederaan tidak mengancam nyawa seperti luka, lebam, retak (tulang) serta terseliuh,” menurut laporan itu.
Dalam ulasan amnya, biro itu turut menekankan kepentingan pengetahuan dan pengalaman juruterbang dalam mentafsirkan keadaan alam sekitar apabila beroperasi di kawasan pergunungan, terutamanya ketika cuaca buruk.
“Pembuatan keputusan yang tepat berdasarkan penilaian risiko yang betul dan pertimbangan yang baik diperlukan dalam persekitaran ini. Satu prinsip utama adalah sentiasa peka dari segi situasi dan jika ragu-ragu, mendarat dan tunggu cuaca buruk reda,” kata laporan itu.