Cabul OKU: Polis rekod keterangan 12 pelajar

Cabul OKU: Polis rekod keterangan 12 pelajar

Polis berkata kertas siasatan mungkin boleh disiapkan minggu ini.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang pelajar Tingkatan 1 bagi membantu siasatan. (Gambar Bernama)
KEPALA BATAS:
Polis merekodkan keterangan 12 pelajar bagi membantu siasatan berhubung kejadian cabul melibatkan 14 pelajar lelaki golongan orang kurang upaya (OKU) di asrama sebuah sekolah menengah.

Ketua Polis Seberang Perai Selatan, Mohd Asri Shafie, berkata pihaknya akan merekodkan keterangan beberapa lagi individu termasuk guru dan petugas di asrama sekolah itu bagi membantu siasatan.

“Kami sedang melengkapkan kertas siasatan itu, kemungkinan dalam minggu ini boleh disiapkan sebelum dihantar kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal kejadian cabul membabitkan suspek pelajar Tingkatan 1 yang juga OKU itu berlaku sejak Oktober lalu, dan 14 mangsa bertindak memaklumkan perkara tersebut kepada guru.

“Mangsa-mangsa mendakwa suspek akan mencabul tanpa mengira masa iaitu bila ada peluang dia akan buat (cabul). Mereka (mangsa-mangsa) menjadi trauma dan tidak tahan dengan tindakan suspek dan bertindak mengadu kepada guru sebelum pengetua membuat laporan polis,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang pelajar Tingkatan 1 bagi membantu siasatan berhubung kejadian mencabul 14 pelajar lelaki OKU di asrama sebuah sekolah menengah, Jumaat lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.