
Presiden Karen Cheah berkata ia memohon suatu certiorari untuk membatalkan keputusan Idris Harun pada 4 Sept lepas, berhubung permohonan DNAA oleh Zahid.
Badan peguam juga mahu mahkamah mengisytiharkan keputusan peguam negara itu batal dan tidak sah serta melampaui kuasanya, mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan dan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.
“Badan peguam berpandangan budi bicara peguam adalah tidak mutlak, seperti yang ditetapkan oleh Perkara 145(3) Perlembagaan, dan harus terbatas serta boleh dihakimi oleh mahkamah,” katanya dalam kenyataan.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada September melepaskan Zahid tanpa membebaskan beliau daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang dalam kes membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Badan peguam mendakwa keputusan peguam negara yang membawa kepada DNAA itu “tidak munasabah”, dan mahu mahkamah perintah peguam negara menyerahkan kepada badan itu semua maklumat dan asas-asas yang ia jadikan sandaran untuk membenarkan permohonan Zahid.
Ini termasuk surat representasi yang Zahid serahkan kepada peguam negara.
Badan peguam juga mahu mahkamah perintah peguam negara menyerahkan kepada badan itu semua maklumat tentang status siasatan lanjut ke atas kes Zahid, termasuk sebarang keputusan tentang memfailkan pertuduhan baharu, meneruskan perbicaran, atau menggugurkan siasatan.
Ia juga mahu akses kepada semua dokumen dan perkara-perkara mahkamah berkaitan kes itu.
Cheah berkata salinan permohonan semakan kehakiman dan afidavit berkaitan diserahkan kepada peguam negara hari ini.