Autonomi lebih besar PKR Malaysia Timur akan tingkat sokongan, kata penganalisis

Autonomi lebih besar PKR Malaysia Timur akan tingkat sokongan, kata penganalisis

PKR di Sabah dan Sarawak sepatutnya lebih bebas melantik ketua negeri masing-masing dan menamakan calon pilihan raya sendiri.

PKR disaran melantik lebih ramai pemimpin dari Malaysia Timur sebagai naib presiden parti dan senator agar dapat mengukuhkan pengaruhnya di wilayah itu.
PETALING JAYA:
Cabang PKR di Malaysia Timur harus diberikan autonomi lebih besar dan diperuntukkan lebih banyak dana agar dapat membina tapak lebih kukuh di Sabah dan Sarawak, kata penganalisis politik.

Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata, PKR Sabah dan Sarawak sepatutnya bebas melantik ketua negeri masing-masing dan menamakan calon pilihan raya sendiri.

Katanya, mereka juga perlu diberi lebih banyak dana daripada belanjawan pusat parti supaya boleh digerakkan dengan lebih meluas untuk menarik bakal ahli.

“PKR patut fokus kepada menambah keahlian dan mengukuhkan kedudukannya di Malaysia Timur dengan memberikan autonomi yang lebih besar kepada kepimpinan negeri,” katanya kepada FMT.

Parti pimpinan Anwar Ibrahim itu harus memanfaatkan kedudukannya sebagai antara parti pemerintah dengan melantik lebih ramai pemimpin dari Malaysia Timur sebagai naib presiden parti dan senator, katanya.

Tambahnya, dengan melantik pemimpin dari Sabah dan Sarawak untuk memegang jawatan penting dalam parti dan juga pada peringkat nasional, PKR akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk meraih sokongan rakyat di wilayah itu.

PKR berjaya bertapak di beberapa bahagian Malaysia Timur sebelum ini, memenangi empat kerusi parlimen di Sarawak dan tiga di Sabah pada PRU14 (2018).

Bagaimanapun, pada PRU tahun lepas, PKR hanya memenangi satu kerusi masing-masing di Sabah dan Sarawak, iaitu Sepanggar dan Miri, walaupun meletakkan 25 calon.

Parti itu juga langsung tidak memenangi sebarang kerusi pada PRN Sarawak 2021 dan hanya dua kerusi pada PRN Sabah 2020.

James Chin daripada Universiti Tasmania berkata, PKR bergelut di Malaysia Timur berbanding DAP kerana kekurangan cabaran daripada parti tempatan berasaskan Cina membolehkan DAP cemerlang dalam mendapatkan sokongan di kerusi bandar majoriti Cina.

“Memandangkan PKR kebanyakannya mengejar undi Bumiputera di Sabah dan Sarawak, mereka berdepan masalah (persaingan sengit dengan parti tempatan).

“Di Sabah, masalahnya lebih meruncing, kerana terdapat begitu banyak parti mewakili Bumiputera di sana,” kata Chin.

Beliau menambah, sentimen kenegerian yang kuat dan latar belakang etnik yang berbeza antara Malaysia Barat dan Timur secara konsisten menjadi cabaran kepada parti-parti yang berpangkalan di Semenanjung dalam usaha bertapak di wilayah itu.

Dalam pada itu, Syahruddin Ag Ahmad daripada Universiti Malaysia Sabah berkata, jika kerajaan perpaduan menepati janjinya untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), PKR akan dapat mengukuhkan kedudukan di Malaysia Timur.

Beliau berkata, rekod RM12.4 bilion dana pembangunan yang diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2024 ialah langkah tegas Anwar menunjukkan komitmennya dalam menegakkan perjanjian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.