
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata dua premis didapati tidak pernah mendapat sebarang kelulusan operasi daripada JAS, sementara satu premis lagi mendapat kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) pada 2020 tetapi tidak mengemukakan permohonan lesen untuk beroperasi.
“Buat masa ini, pegawai JAS masih belum dibenarkan masuk ke lokasi kebakaran untuk mengambil sampel kerana kebakaran belum dapat dipadam sepenuhnya.
“JAS Kedah bagaimanapun telah memulakan siasatan dan merakamkan percakapan pemilik tanah. Berdasarkan keterangan awal daripada pemilik tanah, lot terbabit disewakan kepada tiga premis berbeza,” katanya dalam kenyataan.
Sharifah berkata dua premis yang terlibat disyaki menjalankan aktiviti pengasingan sekerap logam, dan sekerap logam yang diasingkan disyaki dihantar ke premis ketiga untuk aktiviti peleburan.
Beliau berkata aktiviti ketiga-tiga premis terbabit tertakluk kepada Aktiviti 14(b)(ii), Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan)(Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling), Akta Kualiti Alam Sekeliling.
Dalam pada itu, Sharifah berkata pemantauan kualiti udara 24 jam di lokasi kejadian dilaksanakan oleh JAS Kedah bermula hari ini.
“Siasatan di kawasan kebakaran akan diteruskan menggunakan dron dan persampelan akan dijalankan selepas kebenaran pihak bomba diperoleh bagi memasuki ruang yang terbakar,” katanya.
Tiga gudang yang menempatkan barangan terpakai berupa logam tembaga dan wayar di sebuah kilang di Bukit Selambau musnah dalam kebakaran, semalam.
Kebakaran itu menyebabkan berlaku letupan dan percikan “bunga api”, sebelum pihak bomba berjaya mengawal kebakaran pada 10.02 malam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.