Tumpu dana pada B40, M40, bukan tol percuma, kerajaan diberitahu

Tumpu dana pada B40, M40, bukan tol percuma, kerajaan diberitahu

Ahli ekonomi berpendapat, wang itu boleh digunakan untuk usaha seperti pas pengangkutan awam atau subsidi tambang bas sekolah.

Secara keseluruhan, kerajaan telah mengisytiharkan tol percuma selama sembilan hari, sempena Hari Raya, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Krismas dan Hari Kebangsaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dana kerajaan bagi tol lebuh raya percuma pada musim perayaan sepatutnya digunakan untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana, menurut seorang ahli ekonomi yang menggesa kerajaan “melihat semula semua program populis”.

Yeah Kim Leng daripada Universiti Sunway memberitahu FMT, walaupun tol percuma boleh membantu, wang itu boleh dibelanjakan dengan lebih baik.

Tol percuma selama dua hari sempena Deepavali dilaporkan menelan belanja RM37 juta. Selain Deepavali, kerajaan sebelum ini mengisytiharkan tol percuma pada tujuh hari lain sempena Hari Raya, Tahun Baharu Cina, Krismas dan Hari Kebangsaan.

Yeah berkata, wang itu boleh digunakan untuk program bantuan, termasuk pas pengangkutan awam untuk golongan berpendapatan rendah, atau sebagai subsidi tambang bas sekolah untuk keluarga B40 dan M40.

Niaz Asadullah daripada Monash University Malaysia juga berkata, wang itu lebih baik dibelanjakan untuk mempromosikan penggunaan pengangkutan awam.

“Ini akan mengurangkan penggunaan kereta persendirian secara berlebihan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan boleh menyasarkan tol percuma bagi pengguna jalan raya kurang upaya yang perlu menggunakan kenderaan untuk ke mana-mana.

Ahamed Kameel Mydin Meera daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia turut berkongsi pendapat serupa dengan berkata, kerajaan sepatutnya memilih subsidi bersasar berbanding tol percuma secara menyeluruh, dan ini akan mengurangkan beban kewangannya.

“Dalam jangka panjang, kerajaan harus mengambil alih lebuh raya dan menjadikannya percuma kerana pengangkutan ialah keperluan asas untuk semua,” katanya.

Bagaimanapun, Lai Wei Sieng daripada Universiti Kebangsaan Malaysia tidak nampak sebarang isu dengan tol percuma.

“Bukan semua perbelanjaan kerajaan patut dikhususkan bagi rakyat berpendapatan rendah. Sama ada berpendapatan rendah, sederhana atau tinggi, (majoriti) pengguna jalan raya ialah rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.