
Pengerusi Mara itu menegaskan, bayaran boleh diusahakan kemudian menerusi cara-cara tertentu, memandangkan keutamaan institusi Mara adalah untuk membantu pelajar-pelajar miskin dan daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Saya tegaskan jangan sesekali tangguh atau tolak tawaran tersebut,” kata Asyraf dalam catatan di Facebook.
“Yang penting ambil peluang masuk dalam program-program TVET atau kemahiran yang Mara sediakan kerana ia mampu mengubah nasib diri dan keluarga dengan tawaran kerja yang tersedia berserta potensi gaji yang lumayan dan bermaruah.”
Beliau menghuraikan demikian apabila menerima mesej di Facebook didakwa daripada keluarga yang meminta pandangannya sama ada patut menolak tawaran Institut Kemahiran Mara, atau menangguhkan pengajian, kerana tidak mampu membayar yuran pendaftaran.
Asyraf yang juga setiausaha agung Umno berkata, beliau sudah meminta kerjasama institusi pendidikan Mara menerima dahulu pelajar-pelajar yang tidak mampu membayar yuran atau kos-kos lain.
“Pelajar-pelajar boleh bayar secara ansuran atau banyak kaedah lain untuk membantu,” katanya.
Beliau kemudian menambah di ruangan komen, saranan ini turut terpakai bagi pelajar-pelajar yang menerima tawaran di institusi pendidikan Mara lain, termasuk MRSM, Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).