
Dalam operasi pada 9 hingga 12 malam, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 19 dan 31 tahun dipercayai daripada sindiket sama kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran bahan terlarang itu.
“Sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Terengganu melancarkan dua serbuan di lokasi sama iaitu di tepi jalan Kampung Kubang Depu, Jerteh.
“Pada serbuan pertama, polis merampas 1,760g pil Yaba bernilai RM93,500, manakala pada serbuan kedua sebanyak 5,335g pil sama dirampas berjumlah RM291,500,” kata Ketua Polis Terengganu Mazli Mazlan pada sidang media.
Mazli berkata hasil operasi itu polis turut merampas sebuah kereta jenis Honda City dan menyita sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR.
“Semua dadah dipercayai diperoleh dari negara jiran ini boleh digunakan oleh 58,000 penagih tempatan dan suspek kini direman sehingga 6 Dis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB),” katanya.
Mazli berkata siri tangkapan tersebut menjadikan keseluruhan sebanyak tujuh sindiket pengedaran dadah di negeri itu berjaya dilumpuhkan sejak Januari hingga November tahun ini, dengan 18 individu ditahan.
Beliau berkata pil Yaba yang tertinggi dirampas pihaknya iaitu sebanyak 16,408g, diikuti ganja (5,000g), syabu (2,451g), dan Eramin 5 (58.89g).
Katanya, sebanyak 1,106 orang ditahan bagi kategori bekalan, 2,147 (kategori memiliki) dan 6,041 (kes-kes urin) manakala 964 orang penagih tegar dituduh mengikut Seksyen 39C ADB bagi tempoh sama.